Umno Bahagian Jasin perlu melalui satu proses transformasi politik dan kepimpinan yang lebih komprehensif dan radikal untuk mendepani pelbagai cabaran yang muncul bersama peredaran zaman. Ini bagi memastikan ianya menjadi sebuah parti politik Melayu Islam dan Malaysia yang lebih dinamis, inklusif dan berwawasan, parti keramat orang Melayu itu perlu lebih universal dari segi perjuangan tanpa melupakan objektif asal penubuhannya.
Kemasukan golongan kelas menengah Melayu serta generasi muda yang citra dan pemikiran mereka berbeza dengan generasi awal yang membina asas dan mencorak hala tuju Umno perlu disantuni dan didampingi secara lebih dekat dapat memastikan ianya terus relevan pada PRU 14 khususnya bagi memastikan Parlimen Jasin beserta dengan 5 DUN terus kekal di tangan Barisan Nasional.
Kepimpinan lama UMNO Bahagian Jasin kelihatan seolah-olah telah kehabisan idea baru bagi menghadapi hari muka. Tambahan pula kemenangan pembangkang di Parlimen Bukit Katil dan DUN Bukit Baru pada PRU 13 pada 5 Mei lalu sewajarnya dapat memberikan petanda kepada kepimpinan UMNO Cawangan di Jasin, jika tiada langkah diambil maka ianya tidak mustahil akan berlaku di Jasin. Malahan berkurangnya majoriti yang dimenangi diperingkat DUN berbanding keputusan PRU 12 2008 wajar dijadikan peringatan.
Golongan kelas menengah yang menghuni di taman serta penghijrahan anak-anak muda dari desa ke bandar-bandar besar merupakan pasak kekuatan Umno yang baru. Dengan berdampingan bersama generasi muda, parti akan mendapat suntikan semangat dan idea-idea baharu untuk terus memperkukuh perjuangan Umno seiring peredaran zaman. Malangnya perkara ini tidak kerap berlaku di Jasin. Orang muda di Jasin kelihatannya berjalan bersendirian.
Bagi memastikan proses peremajaan Umno berlaku lebih pantas, parti itu perlu membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda, kumpulan profesional dan golongan kelas menengah Melayu untuk bergiat secara lebih aktif dalam Umno. Menghalang kemasukan mereka akan mendatangkan kesan buruk kepada jangka masa panjang. Orang muda mula melihat kepimpinan lama seolah menjadi penghalang kepada kepimpinan pelapis demi masa depan orang Melayu. Kemasukan mereka ke dalam Umno mesti dialu-alukan, malah mereka juga perlu dibimbing untuk mengambil peranan yang lebih besar dalam parti seterusnya menerajui parti pada masa hadapan.
Dalam tempoh yang singkat ini setiap peringkat kepimpinan Umno daripada bahagian dan cawangan perlu bermuhasabah melakukan pembetulan dan bertindak untuk memastikan Umno dapat terus mengungguli perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara yang tercinta.
No comments:
Post a Comment