Pilihan raya ke 13 telah berlalu. Keputusan telah diumumkan. Setelah analisis oleh semua parti yang bertanding dibuat maka kini tiba masanya pula parti-parti politik membuat pemilihan ketua masing-masing. Tidak ketinggalan penulis mahu ucapkan tahniah kepada yang menang baik peringkat Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri.
Menang bukan membawa maksud segala-galanya, begitu juga kalah bukan bermaksud hilang semuanya. Jika kali ini tidak terpilih sebagai calon oleh parti masing-masing, bukanlah bermaksud karier politik tiba dipenghujungnya. Semuanya adalah kerana rezeki. Ingat rezeki datangnya dari Allah Subhana Taala. Jika bersyukur akan ditambah, jika kufur akan ditarik balik.
Begitu juga dengan musim pemilihan ketua bahagian yang bakal berlangsung. Semua parti politik yang berdaftar dikehendaki menunaikan salah satu dari tuntutan dalam perlembagaan parti masing-masing untuk mengadakan proses pemilihan pucuk pimpinan mereka, baik parti kerajaan mahu pun pembangkang.
Untuk parti UMNO, pemilihan ketua bahagian dan AJK bakal berlangsung tidak lama lagi. Setiausaha Agong dan SUK sibuk ke sana dan sini menemui bahagian untuk menerangkan kaedah pemilihan baru seperti mana yang telah diputuskan. Yang jelas dan utama pemilihan kali ini, melibatkan jumlah perwakilan yang lebih ramai dari sebelumnya. Macam kata seorang kawan dari UMNO, nampaknya UMNO mendahului parti-parti politik lain.
Berbalik kepada senario di 2 bahagian iaitu yang melibatkan bahagian Bukit Katil dimana ketua bahagian yang juga mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali bin Rustam kepada calon Parti Keadilan Rakyat iaitu Shamsul Iskandar Mad Akil, memberikan kejutan kepada semua pihak. Apa pun rakyat khususnya ahli-ahli parti telah terima keputusannya. Jika tidak puas hati buat petisyen PRU yang dibenarkan ikut undang-undang.
Persoalannya bila Ketua Bahagian kalah dalam PRU, wajarkah mereka terus diberikan kepercayaan memimpin sesebuah institusi politik yang telah lama berjaya. Kawasan ini merujuk kepada Bukit Katil dan juga Masjid Tanah bila ketua bahagian tidak diumumkan sebagai calon. Adakah ahli-ahli UMNO akan terus memberi kepercayaan dan undi mereka kepada Ketua Bahagian....atau mereka mahukan sesuatu pemnaharuan. Biarlaj persoalan ini dijawab oleh ahli UMNO itu senditi.
Begitu juga dengan bahagian Kota Melaka, Jasin dan Alor Gajah. Bagi Bahagian Bukit Katil, ada pandangan yang mengatakan bahawa mantan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam serahkan sahaja jawatan Pengerusi Perhubungan kepada YAB Datuk Wira Ir. Haji Idris Haron. Begitu juga dengan Ketua Bahagian agar tidak bertanding kali ini. Jika sebelum ini pemilihan jawatan tersebut tidak ada yang "berani" menawarkan diri untuk berentap adakah kali ini akan muncul calon-calon yang ingin menawarkan diri untuk bertanding?
Rasanya bahagian Bukit Katil mempunyai calon-calon yang berwibawa untuk diketengahkan saperti Datuk Asharie Ibrahim dan juga Datuk Dr Rudin Abd. Ghani. Masih adakah penyokong-penyokong mereka untuk terus memberikan undi jika ada pertandingan kali ini? Atau pun pengikut dan penyokong Datuk Seri Mohd Ali Rustam masih mahu mengekalkannya sebagai ketua bahagian. Apa pun kita nantikan bila pencalonan dibuka nanti.
Begitu juga halnya dengan Bahagian Masjid Tanah. Apabila Ketua Bahagian Datuk Wira Abu Seman Yusof tidak tercalon sebagai ahli parlimen mahu pun ADUN maka jawatan Ketua Bahagian Masjid Tanah kini terbuka untuk ditandingi. Datuk Ir Ismail Osman , ADUN Kuala Linggi dan juga menjawat jawatan EXCO kini disebut-sebut namanya sebagai bakal pengganti. Akan adakah calon tempatan atau pun dari luar kawasan yang akan mencabar jawatan tersebut. Atau Bahagian Masjid Tanah akan mencatat sejarah untuk mempunyai Ketua Bahagian daripada wanita? Semuanya ini akan jadi tanda tanya dan teka teki dan menarik untuk diperkatakan.
Biasalah dalam politik tenang jangan disangka tidak ada bahaya.Macam kat laut juga arus dibawah lebih keras daripada arus diatas. Setakat ini ramai nama-nama besar termasuk Tun M menuar-uarkan agar tidak ada pertandingan bagi jawatan no. 1 dan 2. Ada yang menyokong tidak kurang juga yang menolaknya. Kita serahkan kepada ahli untuk menentukannya. Apa pun selamat berkempen dan bertandinglah atas kempen yang bersih dan telus demi kebaikan bersama..........
No comments:
Post a Comment